DIGANGGU MAKHLUK HALUS DI LAMBIR SARAWAK SIRI 2

Sambungan artikel diganggu makhluk halus di lambir Sarawak Siri 1.

Perjalanan dari Miri menuju ke Taman Negara Lambir selepas bermalam di Bandaraya Miri. Tiada apa-apa terjadi sepanjang malam tersebut.

Perjalanan tidak mengambil masa yang lama kerana Taman Negara Lambir tidak jauh dari Bandaraya Miri.

Cuaca cantik tidak terlalu panas sepanjang jalan membuatkan kami terbayang-bayang dengan keindahan Taman Negara Lambir.

Dikhabarkan Taman Negara Bukit Lambir dikelilingi oleh gunung-ganang dan capaian internet amat sukar diperolehi.

Masa yang diperlukan dari Miri ke Lambir lebih kurang 30 hingga 40 minit. Sesampainya kami di sana, kami terus masuk ke Dewan Seminar.

Memulakan sesi pembelajaran membina portal e-Dagang menggunakan OpenCart, sistem awam percuma yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Tidak ada apa-apa perkara pelik berlaku ketika itu. Pada sebelah petang lebih kurang pada pukul 5 petang. Kami dibenarkan keluar awal dan bersiar-siar sekitar Taman Negara.

Pada petang tersebut, kami berjalan mengikut trek yang sudah tersedia dalam Taman tersebut.

Kuda merupakan antara haiwan yang terdapat di situ. Cuma, keadaan Taman Negara seakan dibiarkan, terbengkalai dan sudah lama tidak menerima pengunjung.

Semasa berjalan, tiba-tiba bahagian bahu rasa berat dan sakit. Namun aku berdiam diri. Abang Hamden terus melangkah meniti jembatan yang agak usang.

Barangkali Jambatan kecil tersebut akan runtuh dalam tempoh kurang setahun. Banyak bahagian sudah mereput.

Gelonsor tinggi yang usang berlumut dan kolam yang sudah kering. Tidak banyak yang boleh dilakukan. Hanya menikmati suasana alam.

Kami terus berjalan tanpa menoleh ke belakang dan kami sendiri tidak tahu berapakah jarak yang harus dilalui sebelum balik semula ke point asal.

Sakit bahu kekadang rasa berpindah dari sebelah kiri ke sebelah kanan dan begitu sebaliknya silih berganti.

Aku teringat kisah sahabat yang pernah mengalami situasi yang sama. Dimana beliau dikatakan ditumpangi makhluk halus.

Ingatan tersebut membuatkan aku terdiam tidak berkata apa-apa menahan sakit. Jika aku mengadu, takut menjadi punca mengganggu kosentrasi menikmati suasana alam.

Dari jauh nampak bangunan tempat kami menginap. Kami menarik nafas lega kerana dapat menyelesaikan trek perjalanan sebelum hari benar-benar gelap.

Pada waktu itu matahari sudah condong ke ufuk timur.  Suasana agak gelap kekuningan. Kami terus gerak ke bilik untuk bersiap makan malam dan bergerak ke bilik seminar.

Sampai di bilik, aku terus memberitahu Abang Hamden apa yang terjadi dengan aku semasa di dalam hutan tadi.

Abang Hamden hanya menjawab, "mungkin keletihan selepas aktiviti hari ini". Aku menganggukkan kepala dan melangkah ke bilik air untuk mandi.

Malam tersebut program berjalan lancar. Tiada apa yang mengganggu. Namun...

Waktu aku bergerak ke bilik penginapan. Rasa tak sedap badan. Jiwa aku memberontak dan berbisik. "Kau ingat aku takut dengan kau!!"

"Kau makhluk Allah dan aku juga makhluk Allah. Kita sama-sama makhluk dan hanya Allah yang berkuasa"

Tangan aku dalam keadaan bersedia untuk menumbuk dan mencakar.

Kesilapan aku adalah aku terlalu sombong dan mencabar benda yang aku tak nampak disebabkan perasaan ada sesuatu sedang mengganggu.

Ya!! Aku rasa terganggu. Aku tidak pasti apakah yang mengganggu aku. Cuma aku rasa aku nak melawan. Sehingga berbisik di dalam hati.

"Tunjukkanlah wujud asalmu di hadapan ku. Nescaya aku akan tampar kau dengan kudratku"

"Aku manusia dan manusia adalah makhluk terbaik ciptaan Allah. Lebih baik dari segala makluk di bumi"

Sekali lagi aku mencabar benda yang aku tak nampak. Malam itu, Abang Hamden tidur tidak menutup lampu. Tidak seperti kebiasaan dia semasa program sebelum ini.

Aku tidak kisah dan aku terus baring di katilku sendiri. Saat aku hendak memejamkan mata. Tiba-tiba....

Aku terdengar bisikan.

"Betulke kau cabar aku dan kau benar-benar tak takutkan aku"

"Kuat sangat ke? Hahahahahahahaha"

Aku membuka mata dan dapat melihat satu sosok berbaju putih di sudut dinding dengan rambut terburai panjang. Tidak nampak muka kerana makhluk itu dalam keadaan menunduk.

Aku dalam keadaan separuh berani dan separuh takut. Bisikan "kuat sangat ke!!??" Bagai berada di cuping telinga aku.

Aku terus memejamkan mata dan saat itu aku tersedar bahawa aku terlalu sombong sehingga aku lupa membaca ayat pendinding.

Aku terlalu percaya kudrat ku dapat menghadapinya sehingga aku lupa meminta pelindungan yang maha ESA.

Saat itu, aku terus membaca ayatul kursi berulang-ulang sampai aku benar-benar tertidur.

Keesokkan harinya, aku agak kusam bagai tak cukup tido. Kemudian aku duduk di suatu sudut di kafeteria untuk sarapan pagi.

Abang Hamden kehairanan dan bertanya apa yang berlaku dengan aku malam tadi dan yang sebenarnya Abang Hamden tidak sedap hati malam tadi melihat aku bercakap seorang diri.

Disebabkan itu, dia tidur tidak menutup lampu. Kemudian Abang Hamden menyambung. "Pernah dengar baju kebal Saidina Ali?"

Aku duduk diam dan menggelengkan kepala. Entah kenapa aku berasa letih dan kurang semangat.

Abang Hamden kemudian mengajar aku sesuatu. "Begini, kau baca ayatul kursi 7 Kali dan letakkan di 7 bahagian badan umpama perisai besi".

Aku termanggu dan faham apa yang diterangkan. Aku dapat membayangkan setiap penerangannya.

Bahagian tersebut adalah bermula dari jantung,  hadapan badan, belakang badan, tangan kanan, tangan kiri, kedua belah kaki dan yang terakhir adalah bahagian kepala.

Bagaikan memasang baju besi. Abang Hamden memberitahu bahawa kaedah tersebut selalu dia lakukan sebelum membuat rawatan rukyah.

Jika membuang air kecil atau air besar atau badan terkena najis atau apa sahaja yang boleh membatalkan wuduk. Maka ulang semula 7 ayatul kursi.

Aku tanpa membuang masa terus melakukan apa yang di ajar Abang Hamden. Aku sedar, aku agak hanyut oleh kesombongan aku sendiri sebagai hambanya.

Aku ambil wuduk dan kemudian melakukan apa yang di ajar.

Setelah aku sedar kesilapan aku dan aku melakukan apa yang di ajar. Aku tidak lagi diganggu dan aku rasa tenang sehingga habis program.

Sejak dari hari itu, aku tidak lagi bersikap sombong dengan benda yang tidak nampak atau sekalipun benda yang aku nampak. Termasuk manusia dan alam semulajadi.

Jangan ganggu benda atau makhluk, sekalipun tumbuhan hijau. Kita mempunyai ruang kita sendiri dan yang lainnya juga berhak atas ruang mereka sendiri

Kecuali kalau atas niat untuk makan, membersih, mengemas atau ianya mengganggu aktiviti kita. Maka bolehlah kita membuat tindakkan tanpa melampaui batas.

Hargai apa yang ada di sekeliling kita dan jangan melampaui batas sebagai manusia yang memiliki akal.

Catat Ulasan

Nyatakan cadangan, pandangan dan maklumbalas anda di bawah ini dengan berhemah. Kami akan sedaya upaya untuk membantu.

Terbaru Lebih lama