MEMAHAMI ELEMEN DI DALAM KUNCI KIRA-KIRA

mengenai kunci kira-kira

Kunci kira-kira adalah satu bahagian penting dalam penyata kewangan yang memberikan gambaran ringkas mengenai keadaan kewangan sesebuah syarikat.

Dalam kunci kira-kira, terdapat beberapa elemen penting yang perlu difahami.

Setiap kategori atau elemen mempunyai fungsi tersendiri yang menggambarkan kedudukan syarikat.

Kunci kira-kira juga adalah salah satu dari penyata kewangan yang diperlukan oleh pihak berkepentingan.

Siapakah pihak berkepentingan? Pihak berkepentingan adalah seperti pemilik syarikat, pemungut cukai, Bank yang menyediakan pinjaman atau agensi kerajaan yang hendak menyalurkan bantuan.

Melalui kunci kira-kira mereka dapat menilai keadaan syarikat dan dapat membuat ramalan masa depan. Adakah syarikat mampu menghadapi krisis yang mencabar.

Namun begitu, kebanyakkan pemilik syarikat tidak memahami apa yang terdapat di dalam penyata kewangan kunci kira-kira.

Mari kita belajar apakah maksud setiap kategori atau elemen di dalam kunci kira-kira

Aset Tetap

Aset tetap merujuk kepada aset jangka panjang yang dimiliki oleh syarikat dan digunakan dalam operasi harian perniagaan.

Contohnya termasuk bangunan, peralatan, kenderaan, dan mesin. Aset tetap ini mempunyai jangka hayat yang panjang dan memberikan manfaat dalam jangka masa yang lama kepada syarikat.

Namun begitu aset tetap mempunyai peratusan susutnilai setiap bulan yang akan memberi nilai pelupusan kepada syarikat.

Juga merupakan antara yang sukar dicairkan jika syarikat memerlukan modal pusingan.

Aset Semasa

Aset semasa merujuk kepada aset yang boleh ditukarkan kepada tunai atau dicairkan dalam tempoh yang singkat, biasanya dalam tempoh satu tahun.

Contoh aset semasa termasuk tunai, inventori, penghutang dagangan, dan pelaburan sementara.

Aset semasa penting kerana ia menunjukkan keupayaan syarikat untuk memenuhi komitmen kewangan semasa.

Liabiliti Semasa

Liabiliti semasa merujuk kepada jumlah wang yang syarikat berhutang kepada pihak ketiga dalam tempoh satu tahun.

Contohnya termasuk hutang dagangan, hutang sewa, hutang gaji, dan hutang cukai. Liabiliti semasa adalah tanggungan kewangan yang perlu dilunaskan dalam jangka masa yang singkat.

Bahagian ini adalah bahagian aset semasa pihak lain.

Liabiliti Jangka Panjang

Liabiliti jangka panjang merujuk kepada jumlah hutang syarikat kepada pihak ketiga melebihi tempoh satu tahun.

Contohnya termasuk pinjaman bank, bon, dan pembayaran balik pinjaman jangka panjang.

Liabiliti jangka panjang memberikan gambaran mengenai tanggungan kewangan yang perlu dilunaskan dalam jangka masa yang lebih panjang.

Kebanyakkan hutang mempunyai nilai yang besar dan kos tersebunyi adalah bayaran faedah yang dikenakan oleh pemberi hutang.

Ekuiti

Ekuiti merujuk kepada jumlah yang dimiliki oleh pemilik perniagaan dalam syarikat.

Ia dihitung dengan mengambil jumlah aset dikurangkan dengan jumlah liabiliti.

Ekuiti juga dikenali sebagai modal pemilik atau modal sendiri. Ia mewakili pelaburan pemilik perniagaan dalam syarikat dan juga menjadi pelindung kepada kewangan syarikat.

Selain itu, keuntungan atau kerugian bersih juga terdapat di dalam ekuiti sebagai timbal balik kedudukan modal syarikat.

Jika bahagian ini dalam keadaan negatif, ia bermaksud syarikat sedang menghadapi masalah berkaitan dengan pusingan modal.

Pemahaman yang jelas tentang elemen-elemen ini penting kerana ia membolehkan pemilik perniagaan dan pihak berkepentingan lain untuk menilai keadaan kewangan syarikat dengan lebih teliti.

Dengan menggunakan kunci kira-kira, pemilik perniagaan dapat membuat keputusan yang berdasarkan maklumat kewangan yang tepat dan mengurus aset serta liabiliti syarikat dengan berkesan.

Catat Ulasan

Nyatakan cadangan, pandangan dan maklumbalas anda di bawah ini dengan berhemah. Kami akan sedaya upaya untuk membantu.

Terbaru Lebih lama