اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ SOLAT TIANG AGAMA.. SELAMAT MEMBACA.. ANDA SENYUM KAMI BAHAGIA..

POLITIK BARU TAPI PEMIKIRAN LAMA DAN SEMPIT

Oleh: Dr Awang Azman Awang Pawi

Kelihatan beberapa orang mahasiswa begitu asyik dengan membaca sesuatu daripada Ipad. Suasana agak santai. Tetapi wajahnya agak kurang ceria. Beberapa laman maya yang dilayari menyentuh isu semasa berkenaan gelora politik negeri Sarawak. Isu atau kandungan berita yang begitu menggamit perasaan pengundi muda tersebut? Yang pasti, selain mencari bahan lanjutan kuliah, membaca pelbagai cerita dan berita politik menjadi pengisi waktu mereka apabila penat menelaah.

“Sangat kolokial, bermain sentimen, kurang daya selidik dan fakta. Gemar mengutip berita akhbar arus perdana untuk dikomen. Berita cerita hal politik 24 jam. Berita berkenaan masalah rakyat kurang mendapat tempat.” Demikian luah seorang anak muda apabila ditanya berkenaan sebuah laman politik yang dibacanya. Sepertimana anak muda tersebut, seorang temannya mahasiswa sains sosial memberikan pandangan lain pula.

“Kami membaca semua laman politik tanpa mengira pembangkang dan kerajaan. Yang kami ingin tahu, apakah segala isu yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak menunjukkan ketinggian daya berfikir, menggunakan fakta dan data yang konkrit. Tulisan yang merendahkan pemikiran kami sebagai pembaca akan lenyap secara automatik. Jangan merendahkan kemampuan kami sebagai pembaca” Sambil itu, anak muda itu menunjukkan kepada penulis beberapa akhbar dalam talian seperti The Nation yang berpusat di Bangkok, Jakarta Post di Jakarta, The Daily Telegraph di London yang turut merupakan rutin bahan bacaan hariannya.

Ternyata, generasi pasca PRU 2008 semakin celik politik. Bukan sahaja politik desa, bahagian atau negeri. Tetapi juga politik national dan internasional. Dengan apakah dibandingkan keupayaan teknologi masa kini dengan teknologi 15 tahun dahulu dari segi kemajuan dalam penulisan laporan politik semasa? Sudah pasti, blogger tanpa mengira ideologi politik perlu mengambil pertimbangan serius betapa khalayaknya barangkali lebih berpengetahuan dan lebih kritis daripada blogger sendiri.



Justeru, bagaimanakah menangani segala isu kritikal yang dihadapi oleh parti-parti tersebut? Yang pertama sejauh manakah keikhlasan mereka memperjuangkan isu parti? Adakah mereka dibelenggu oleh jiwa feudal atau berjiwa rakyat? Yang diperjuangkan adalah parti politik. Namun apalah erti perjuangan politik tanpa mengutamakan perjuangan atau masalah rakyat. Sejarah politik di Sarawak atau negara-negara lain di dunia membuktikan jangka hayat parti politik boleh pendek tanpa talian hayat. Tetapi masalah semasa rakyat terus relevan sepanjang zaman.

Tidak salah golongan blogger khususnya ahli parti pembangkang atau kerajaan mendapat bayaran khidmat professional mereka. Menjadi blogger bukan mencari ilham di langit dan berhujah dengan hati dan mainan emosi. Tidak mendapat bayaran melalui sumbangan sebagai blogger atau seumpamanya bukanlah sesuatu yang mulia dalam zaman kapitalis global ini. Janganlah terlalu suci hendak menjadikan Anwar Ibrahim penasihat ekonomi Selangor yang dikatakan dibayar RM1 setahun sebagai idola. Anwar Ibrahim sudah cukup dengan pendapatan dengan gaji sebagai ahli Parlimen, penasihat dan perunding antarabangsa selain barangkali pencen bulanan semasa menjawat jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri.

Di Sarawak, terdapat wujudnya blogger pro pembangkang dan pemerintah. Namun sejauh manakah kerjasama antara blogger tersebut. Sudah tentu, blogger pro pembangkang semacam senada dengan isu dan masalah yang dibangkitkan. Hal ini menunjukkan kesepaduan dalam kalangan mereka. Bagaimanakah pula blogger pro pemerintah di Sarawak. Selain, dilihat mewakili parti-parti komponen BN Sarawak, blogger yang neutral dari segi politik kepartian terus diragui akan kemunculan mereka. Bagaimanakah blogger pro BN Sarawak berhadapan dengan laman seperti sarawakreport. Adakah dengan membuka dan meniru atau mengodam merupakan jawapan terbaik? Adakah mereka sudah berjaya menangkis hujah dalam laman yang dianggap begitu kritikal terhadap kerajaan negeri?

Blogger pro BN amat intim dengan parti komponen yang mereka wakili. Situasi ini merupakan sumber terbaik kepada mereka untuk mendapat data dan fakta untuk menangkis segala dakwaan yang menyebabkan kredibiliti bukan sahaja Negeri, parti Barisan Nasional akan tetapi blogger yang pro turut tercalit hitam. Inilah dikatakan sebagai perang media yang merupakan istilah yang sering diungkapkan golongan blogger. Kaedah menangani tidak lain daripada melawan semula. Kaedahnya ialah melawan fakta dengan fakta, perlawanan hujah dengan hujah, kredibiliti dengan kredibiliti, malah kalau perlu debat dengan debat.

Sekiranya Khairy Jamaludin boleh berdebat dengan Rafizi Ramli dengan menggunakan kaedah yang disebutkan di atas, mengapa tidak ada kalangan blogger ataupun kalangan ahli politik kedua-dua pihak di Sarawak berdebat secara terbuka. Dengan ini, rakyat akan dapat menilai hujah kedua-dua pihak dan merumuskannya sendiri. Didapati, tidak jatuh imej Khairy sebagai pendebat. Begitu juga reputasi Rafizi yang tidak merosot akan persepsi rakyat terhadap mereka berdua kerana berhujah secara akademik dan masing-masing menunjukkan budaya penyelidikan yang tinggi. Kita perlu mencontohi debat bersih seumpama ini dan bukannya hanya berdebat dan wacana sesama sendiri di Bimper atau di Kopi O Corner sahaja.

Isu Persepsi

Sejauh manakah BN negeri Sarawak serius menangani isu persepsi dalam kalangan rakyat di Negeri Sarawak hasil daripada perang alam maya. Sejauh manakah unit media yang tidak berbayar demi sumbangan kepada parti ini sudah teruji dengan kejayaan menangani isu-isu yang diketengahkan oleh laman pro pembangkang? Makna di sini, indeks pencapaian perlu ada kayu pengukur agar tidak terawang kabur. Bukan sahaja proses kerja yang lebih sistematik, proses pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa perlu dikemas kini. Walaupun kerja ini tidak berbayar tetapi ahli-ahli parti amat mengharapkan sumbangan golongan blogger ini dapat memberikan nama baik kepada parti dan kerajaan yang sedia ada. Di jari-jari blogger-blogger dan pengendali laman maya inilah terletak amanah dan tanggungjawab parti bagi memberikan perspektif yang menyeluruh kepada isu hangat semasa.

Apakah yang dapat diperoleh selepas membaca artikel politik? Kalau dalam puisi, seorang penyair terkenal pernah berkata puisi yang baik ialah puisi selepas dibaca akan memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya. Sama juga dengan sebuah penulisan yang baik sama ada penulisan politik atau langgam tulisan yang lain. Laman maya berkenaan politik semasa yang baik, dapat diketahui akan besar manfaatnya apabila dapat memberikan kebijaksanaan sesiapa sahaja yang membacanya. Jadi, pengendali laman perlu lebih berhati-hati agar laman yang dibina popular kerana kredibiliti yang tinggi bukannya terkenal sebagai laman yang suka membuat label, tidak berkemampuan berhujah secara jitu dan sekadar memaparkan berita wakil rakyat mereka memotong reben semata-mata.

Juga, sudah pasti sebagai pembaca yang bijaksana tidak akan mudah terjebak dengan sentimen perkauman yang sempit dan gelojak emosi yang belum masak pemikiran. Data konkrit dan idea yang lebih segar dapat lebih meyakinkan pembaca. Keterbalikan ini, pasti bukan meningkatkan pengaruh, sebaliknya menjunamkan sokongan kepada parti politik yang ditunjangi.

Jadi, sebelum memasuki era perang dalam dunia maya, ada baiknya pihak blogger atau pengendali laman maya sama ada pembangkang dan pemerintah merenungi beberapa aspek seumpama ini. Pilihan raya yang dijangka pertengahan tahun ini dan ke atas perlu dilihat sebagai pertandingan di padang yang sama rata! Sudahkah mereka ini bersedia?

*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Dalam dunia kesarjanaan beliau pernah mendapat biayai Southeast Asian Studies Regional Exchange Program (SEASREP), Toyota Foundation selain daripada Mardjani Foundation Russia, ahli European Association for South East Asian Studies (EuroSEAS), dan anggota Scientific and Technical Committee & Editorial Review Board on Human and Social Sciences, di Paris.

Reactions:

1 comments:

  1. Juga, sudah pasti sebagai pembaca yang bijaksana tidak akan mudah terjebak dengan sentimen perkauman yang sempit dan gelojak emosi yang belum masak pemikiran

    BalasPadam

COMMUNITY BIZ COMBO

Bantuan pengiklanan dan banyak lagi

COWAY THE WATER SPECIALIST

Call or whatsapp 0128477709

NAK PAKAI? NAK JUAL?

KLIK DAN TEMPAH

LEBIH 260 SIARAN

Semua movie terkini di panggung wayang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Assalamualaikum.. Adik saya Termizzi Bin Senak kembali ke warahmatullah lebih kurang 8.30pm 16 Februari 2012. Mohon pembaca sedekah al-fatihah kepada arwah. al-fatihah.

Mak saudara rakan saya ujang (Firdaus) iaitu Cik Dayang Fatimah Binti Abang Drahman telah kembali ke warahmatullah hari ini 22 Februari 2012. Mohon pembaca sedekah al-fatihah kepada arwah. al-fatihah

Guru silat saya Dato Dahlan Ali telah kembali ke warahmatullah pada 19 Mac 2012. Mohon pembaca sedekah al-fatihah kepada arwah. al-fatihah.